18 August, 2010

Tolong Sampaikan Kepada Si Dia..


Tolong beritahu si dia aku ada pesanan buatnya..
Tolong beritahu si dia, cinta agung adalah cinta-Nya
Tolong beritahu si dia, cinta manusia bakal membuatnya alpa
Tolong nasihati si dia, jangan menyintaiku lebih

Dari dia menyintai Yang Maha Esa
Tolong nasihati si dia, jangan mengingatiku lebih
dari dia mengingati Yang Maha Kuasa
Tolong nasihati si dia jangan mendoakanku lebih
daripada dia mendoakan ibu bapanya

Tolong katakan pada si dia, dahulukan Allah kerana di situ ada syurga
Tolong katakan pada si dia, dahulukan ibu bapanya
Kerana di telapak itu syurganya

Tolong ingatkan si dia,aku terpikat kerana imannya
Bukan rupa
Tolong ingatkan si dia, aku lebih cintakan zuhudnya
Bukan harta
Tolong ingatkan si dia, aku kasihkannya kerana santunnya

Tolong tegur si dia, bila dia mula mengagungkan
cinta manusia
Tolong tegur si dia bila dia tenggelam
dalam angan-angannya
Tolong tegur si dia, andai nafsu mengawal fikirannya

Tolong sedarkan si dia, aku milik Yang Maha Esa
Tolong sedarkan si dia, aku milik keluarga
Tolong sedarkan si dia, tanggungjawabnya besar
kepada keluarganya

Tolong sabarkan si dia, usah ucap kata cinta
di kala cita-cita belum terlaksana
tolong sabarkan si dia andai diri ini enggan dirapati
kerana menjaga batasan cinta
tolong sabarkan si dia bila jarak menjadi penyebab bertambah rindunya

Tolong pesan padanya aku tidak mahu menjadi
Fitnah besar kepadanya
Tolong pesan padanya aku tidak mahu menjadi punca
Kegagalanya
Tolong pesan padanya aku membiarkan Yang Maha Esa
menjaga dirinya

Tolong khabarkan pada si dia, aku tidak mahu melekakan dia
Tolong khabarkan pada si dia, aku mahu dia berjaya dalam impian dan cita-citanya
Tolong khabarkan pada si dia jadilah penyokong dalam kejayaanku

Tolong sampaikan pada si dia aku mendambakan
cinta suci yang terjaga
Tolong sampaikan pada si dia cinta kerana ALLAH
tidak ternilai harganya
Tolong sampaikan pada si dia hubungan ini terjaga
selagi dia menjaga hubungan dengan Yang Maha Kuasa
Tolong sampaikan kepada si dia kerana aku tidak
mampu memberitahunya sendiri

Hanya engkau Ya ALLAH mengetahui siapa si dia
Moga perasaanku sampai kepadanya walau aku sendri
Tidak mengetahui siapa dan di mana dia
Moga dia ibarat sekor lebah yang sentiasa memuji
Keagungan Yang Maha Kuasa memasuki taman larangan
dengan sopan santunnya dan bertemu
mawar berduri yang terjaga oleh tuannya
Simpanlah pesananku ini sehingga engkau
bertemu diriku suatu hari nanti..







08 August, 2010

Bidang Terjun..


Bismillahirahmanirahim, pertamanya ana bersyukur kehadrat ilahi kerana dengan izin dan kuasanya telah memberi nikmat sihat. Dengan ini hambaMu yang kerdil ini masih mampu menjalankan aktiviti seharian.

Sedang ana bersiap untuk menunaikan solat maghrib telefon ana berdering, kerana telefon ana rosak semua contact telah hilang, hanya no yang tertera di skrin. Kak Nurul rupanya, dia telah mengajak ana untuk menjadi fasilitator bantuan untuk program "Nadwah Kecemerlangan Pelajar Tingkatan 5".

Pada 6/8/10, jam 10 malam ana dan Kak Nurul serta kak Ifah bertolak ke Kuala Kubu Bharu. Kem ini diadakan di Masjid Jamek Ar-Rahimah Kuala Kubu Bharu selama 2 hari 1 malam. Pada mulanya hanya 3 orang fasi muslimat, kekurangan bilangan fasilitator bukan penghalang untuk kami, kami cuba lakukan yang terbaik untuk memberi pengisian yang berfaedah kepada adik-adik yang datang dengan penuh harapan untuk menimba ilmu. Masalah ini timbul kerana fasi yang sepatutnya hadir mempuyai komitmen lain yang tidak dapat dielakkan. Dan ana sebagai bidan terjun, biarlah ana lupakan gelaran itu! Akan ana lakukan yang terbaik. Ana tahu ALLAH sentiasa bersama hamba-hamba-Nya.

Namun atas usaha ustaz Anhar, pada jam 10 pagi esoknya, seramai 4 orang lagi fasi sampai. Ahlan Wasahlan Kak Fatin, Kak Zati, Kak Nas dan Kak Min. Mereka merupakan mahasiswi Upsi yang mengambil jurusan Pendidikan Agama Islam. Selain itu kami juga dibantu oleh akak-akak dari Darul Quran yang tiba sejurus selepas ketibaan fasi dari Upsi.

Ahlan wasahlan Kak fatimah, Kak Afridah, Kak Zu, kak Samihah dan Kak Naimah, Ya ALLAH indahnya apa yang telah Engkau aturkan.

Difahamkan peserta sebahagian besarnya pelajar tingkatan 5 dan hanya beberapa orang pelajar tingkatan 3. Kem ini amat memberi makna kepada ana, kerana bukan hanya kem kecemerlangan semata-mata tetapi diselitkan dengan bengkel solat. Di mana para peserta akan didedahkan kepada teori dan amali.

Daripada kem ini juga ana banyak belajar benda yang baru. ‘’Alhamdulillah aku tidak akan mensia-siakan peluang yang Engkau berikan ini’’. apa yang paling menarik ketika slot amali mereka begitu bersungguh-sungguh dan tiada persaan malu untuk belajar.

Ana yang sedikit pening kerana melayan pertanyaan mereka. Kadang-kadang soalan mereka tanyakan tidak pernah terlintas di fikiran ana. Ya Allah berikanlah mereka kekuatan yang berterusan dalam menimba ilmu-Mu. Amin....

Ya Allah begitu cepat masa berlalu, kini tiba masanya slot terakhir ‘wassini’ slot ini meminta para peserta menulis harapan dan nasihat kepada fasilitator dan begitu juga fasilitator. Kami akan bertukar-tukar nasihat dan harapan. Ana menasihati semua adik-adik ana supaya terus berjuang dan harapan ana agar mereka bisa menjadi seorang muslimah yang hebat.

Adik-adik walaupun hanya seketika, kenangan-kenangan itu akan akak simpan kemas dilipatan memori ini, terima kasih kerana sudi menerima tunjuk ajar akak biarpun diri ini serba kekurangan, bersama-sama kita meningkatkan ilmu dan menjadi hamba yang diredhai-Nya. Semoga diizinkan Allah untuk kita bersua kembali. InsyaALLAH. Ukuwah fillah abadan abada!!!!

05 August, 2010

Terhakisnya Pahala..


Alhamdulillah Ya ALLAH, ana masih diberi peluang untuk menghirup udara dan melihat dunia yang indah ini. Walaupun diri ini terasa lemah dan tidak terdaya kerana belakangan ini ana merasakan tidak enak badan, ramai sahabat-sahabat ana yang menegur dan mengatakan ana kelihatan pucat, ish! Betol ke? Ana rasa biasa jer.

Hmmm..hidup hanya sementara sudah banyakkah amalan kita? Persoalan ini sentiasa bermain di fikiran ana, teringat akan kata-kata seorang ustaz, yang lebih kurang begini bunyinya “kita kena sentiasa berdoa agar tidak tergolong dalam kalangan yang muflis di akhirat kelak, dan sentiasalah berdoa agar jangan biarkan segala nikmat yang kita dapat pada hari ini adalah balasan daripada segala kebaikan yang kita buat di dunia ini”.

Cuba renungkan kembali dalam kehidupan kita seharian, banyak sebenarnya perbuatan yang boleh menyebabkan terhakisnya amalan baik manusia. Di sini ana ingin mengambil contoh yang paling dekat dengan kehidupan seharian kita, iaitu MENGUMPAT. Biasa kita dengar dalam perbualan seseorang individu akan menegaskan, apa yang diperkatakan bukanlah mengumpat tetapi adalah benar. Adakalanya nama orang yang dimaksudkan tidak disebut, tetapi maksud perlakuan itu tetap sama iaitu menceritakan keburukan seseorang supaya diketahui orang lain. Namun gambaran diberi selalunya boleh menyebabkan identiti orang yang dimaksudkan di ketahui.

Rasulullah S.A.W ada bersabda: Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya.” (Hadis riwayat Muslim). Sanggupkah kita memakan bangkai saudara seagama? Sudah pastilah tidak bukan? Begitu hina dan buruknya mengumpat sehingga disamakan dengan perbuatan memakan bangkai saudara, sebagai manusia yang berfikiran waras tidak mungkin kita sanggup memakan daging manusia apatah lagi saudara kita.. fikir-fikirkanlah!

Ya ALLAH, begitu besarnya dosa orang yang mengumpat, manakan tidak! Dosanya tidak akan diampunkan oleh-Nya biarpun kita benar-benar bertaubat. MasyaAllah! Bagaimana kita hendak mendapat keampunan? Kita mestilah meminta maaf dengan individu yang diumpat, jika dia tidak memaafkan kita, maka tunggulah pembalasan di akhirat kelak.

Hari ini mengumpat menjadi fenomena biasa dan tidak dianggap sebagai perbuatan dosa. Sabda Rasulullah S.A.W : Wahai orang yang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum muslim, dan janganlah kamu mengintip keaiban saudaranya, maka ALLAH akan mengintip keaiban, dan dia akan mendedahkannya,meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Orang yang mengumpat akan mendapat kerugian besar pada akhirat kelak. Pada rekod amalan mereka akan dicatatkan sebagai perbuatan meghapuskan pahala. Pahala dikumpulkan sebelum itu musnah atau dihapuskan seperti mudahnya api memakan kayu kering sehingga tidak tinggal apa-apa lagi.

Ya ALLAH, buruknya perbuatan mengumpat! Di sini ana ingin mengingatkan diri ana dan sahabat semua, sama-sama kita jauhkan diri daripada melakukanya. Oleh itu perbanyakkan zikir supaya dapat menghindarkan diri daripada mengumpat. Islam menganjurkan beberapa kaedah untuk memghindarkan diri daripada terjetumus dalam budaya hidup suka mengumpat antaranya:

• Fikirkan jika kita mengumpat, kita akan diumpat balik, sudah tentu kita tidak akan mengumpat. Elakkan berbuat jahat kepada orang yang tidak berbuat jahat kepada kita.

• Ingat dosa. Larangan islam terhadap perbuatan mengumpat sudah cukup untuk menyedarkan kita. Tidak ada individu yang sanggup memakan bangkai seseorang.

Imam al- Ghazali ada menyatakan perkara-perkara yang mendorong seseorang itu mengumpat, iaitu:

  • Suka mendengar dan mengikuti perbualan orang yang menyerang peribadi dan kehornatan seseorang
  • Mahu bersaing dan menonjolkan diri dengan menganggap orang lain bodoh dan rendah
  • Dengki, iri hati dengan kelebihan individu lain
  • Bergurau dan suka berlawak untuk mencela, mengatakan kelemahan dan kecacatan orang lain hingga mengaibkan individu tersebut
  • Mengejek dan mencela serta merasa bongak kerana memandang rendah terhadap orang lain

03 August, 2010

Al-Fatihah



Sekian lama ana meninggalkan blog ini,bukan sengaja ana membiarkan ia tanpa pengisian, ada sebabnya. InsyaAllah ana kan cuba untuk berkongsi apa yang patut dan membawa manfaat kepada para pembaca. Kali ini izinkan ana berkongsi sedikit pengalaman ana yang baru ana alami. Bak kata pepatah kita hanya merancang tetapi ALLAH yang tentukan. Memang benar sebaik dan teliti mana pun kita merancang jika tanpa izin ALLAH S.W.T apa yang kita rancang tidak akan terjadi. Misalnya ana telah merancang untuk ke rumah akak ana di Pahang pada minggu lepas namun apa yang telah di rancang tidak diizinkan-Nya malah rencana lain yang telah diatur.

Pada 29/7/2020, jam menunjukkan pukul 7.20 pagi, seperti biasa ana bersiap untuk ke kelas. Selangkah lagi kaki ana untuk memijak tangga bas, tiba-tiba telefon ana berdering. Di skrin tertera nama akak ana, ana ingatkan dia ingin bertanya pukul berapa ana bertolak namun jangakaan ana jauh meleset apabila kedengaran sayu di hujung talian mengatakan atok kesayangan kami semua telah pergi meninggalkan kami. Innalillahiwainnailaihirajiun, ana terkedu seketika dan terus bergegas naik semula ke bilik dan mengemas apa yang patut. Ana menelefon ibu ana untuk memastikan apa yang ana dengar adalah benar. Ya Allah benar, atok kesayangan kami telah pergi menghadap sang pencipta yang lebih menyayaginya. Ana redha, ana segera menelefon teksi untuk ke pekan. Alhamdulillah segala urusan ana dipermudahkan. Ana bertolak dari Tanjong Malim ke Tanah Merah pada pukul 8 pagi.

Sepanjang perjalanan tidak lekang ana membaca surah yassin. Sekuat mana pun ana, ana tidak mampu menahan sebak, apabila sedikit demi sedikit kenangan-kenangan bersamanya bermain-main di minda. Ana merupakan cucu yang paling rapat dengan arwah. Terlalu banyak kenangan. Moga arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Ampuni segala dosa-dosanya Ya ALLAH. Ana mengjangkakan ana sempat untuk menatapwajahnya buat kali terakhir, namun semuanya meleset, ketika hampir sampai sampai di Tanah Merah, ibu ana call dan memberitahu semua urusan pengebumian telah selesai, sebaknya ana kerana tidak sempat untuk menatap wajah arwah buat kali terakir, namun sebaliknya ana bersyukur kerana urusan pengebumian berjalan lancar. –al-fatihah-

Hidup ini adalah pinjaman. “dunia ini hanya 3 saat, 1 saat telah berlalu, 1 saat sedang engkau alami dan 1 saat lagi engkau tidak tahu adakah engkau boleh sampai atau tidak, oleh itu engkau hanya memiliki 1 saat sahaja kerana maut itu datang dari saat ke saat (Abu Dzar r.a)